Tun Abdullah Seru Masyarakat Minoriti Islam Myanmar Utamakan Pendidikan
Katanya masyarakat Islam perlu memperkasakan diri melalui pendidikan dan mengejar ilmu yang relevan dengan keperluan mereka pada abad ke-21.
Abdullah berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Forum Antarabangsa mengenai Nasib Umat Islam di Myanmar pada abad ke-21: Inisiatif Ke Arah Penyelesaian dan Melangkah Ke Hadapan, di Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) di sini Rabu.
Selain pendidikan, katanya pembangunan belia dan ekonomi umat Islam juga merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian untuk membolehkan masyarakat minoriti Islam menikmati masa depan yang lebih cerah.
Abdullah, yang juga penaung IAIS Malaysia, bagaimanapun menegaskan bahawa dalam usaha ke arah itu, mereka tidak sepatutnya melakukan keganasan, tetapi mengamalkan pendekatan secara aman dan berganding bahu dengan masyarakat bukan Islam.
Beliau juga berkata masyarakat Islam yang lebih maju perlu membantu saudara seagama mereka yang kurang bernasib baik untuk mencapai kejayaaan dan melindungi hak mereka dalam masyarakat.
Mereka yang berucap pada forum anjuran IAIS Malaysia itu termasuk presiden International Movement for a Just World (JUST) Dr Chandra Muzaffar, manakala moderatornya ialah timbalan ketua pegawai eksekutif IAIS Malaysia Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.
Chandra berkata memang benar Myanmar telah melakukan beberapa perubahan seperti mengadakan pilihan raya Parlimen, melaksanakan perubahan ekonomi dan kini lebih terbuka kepada pelaburan asing.
“Tapi, perubahan ini mungkin tidak akan menghasilkan asas transformasi bagi dalam masyarakat Myanmar,” katanya sambil menambah bahawa Asean memikul tanggungjawab untuk cuba membawa perubahan yang diharapkan.
“Kami ingin melihat petubuhan Asean mengamalkan pendekatan bersifat lebih proaktif terhadap persoalan Rohingya di Myanmar dan minoriti lain,” katanya.
Beliau berkata Asean perlu bersuara dan berkata “marilah kita cuba menyelesaikan masalah ini, anda perlu menyelesaikan punca masalahnya”, iaitu persoalan berkaitan kewarganegaraan dan persoalan tentang tindak-tanduk rejim di Myanmar.
Beliau juga menegaskan bahawa isu itu perlu diselesaikan tanpa melibatkan keganasan, tetapi secara aman.
— BERNAMA
Leave a Reply