Laporan Langsung Wartawan Utusan Online 2013 Live
Gabungan NGO desak kerajaan fikir semula hubungan dengan Myanmar
Oleh MOHD. HAZLI HASSAN
KUALA LUMPUR 29 Nov. – Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia menentang ekstremis agama di Myanmar (Gabungan NGO) mendesak kerajaan agar mengkaji semula perhubungan diplomatik dan juga perdagangan dengan Republik Kesatuan Myanmar.
Koordinatornya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan Malaysia harus menyatakan pendirian tegas ekoran Myanmar dilihat langsung tidak mengendahkan deklarasi dan semangat ASEAN menentang ekstremis agama di negara itu.
“Terbaharu, agama Islam dihina oleh sami Buddha di mana mereka mengadakan protes jalanan pada 15 November lalu ketika kehadiran wakil Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke negara itu untuk meninjau keadaan rakyat beragama Islam di sana.
“Malah, lebih memburukkan keadaan, salah satu kain pemidang semasa protes itu turut menyatakan ‘Oppose Islam, the animal-like religion which has high reproductive rate’ (Tentang Islam, agama menyerupai binatang yang mempunyai kadar kelahiran yang tinggi), sehingga tahap ini, namun Myanmar masih berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa,” dakwanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai penyerahan memorandum daripada Gabungan NGO kepada Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kayat.
Memorandum daripada Gabungan NGO itu bagaimanapun tidak dapat diserahkan kepada mana-mana wakil Kedutaan Myanmar dan hanya dimasukkan ke dalam peti surat kedutaan itu sahaja.
Mohd. Azmi yang juga merupakan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) turut bertegas dengan mengatakan sami-sami Buddha itu telah melakukan satu jenayah yang dahsyat kerana menghina sebuah agama utama dunia.
“Kami dengan ini memprotes tindakan berkenaan. Kami mahu persatuan sami-sami Buddha berkenaan meminta maaf kepada umat Islam seluruh dunia. Jika tidak mahu wakil OIC berada di Myanmar, kami boleh terima, tapi bukan sehingga tahap menghina agama Islam.
“Kami juga mahu, kerajaan Malaysia bertindak tegas dengan menyatakan pendirian terhadap perhubungan diplomatik dan perdagangan dengan Myanmar.
“Malah, kami juga mahu kerajaan Malaysia mendesak ASEAN agar memikirkan kembali keanggotaan Myanmar yang turut dikatakan bakal mempengerusikan pertubuhan itu tahun hadapan
“Jika Myanmar masih berdiam diri, kita turut mendesak kerajaan Malaysia mengarahkan agar atlet yang akan menyertai Sukan SEA ke-27 di Myanmar bulan depan agar tidak menyertainya sebagai tanda bantahan kita terhadap penyiksaan umat Islam di negara itu dan juga kebiadaban sami-sami Buddha terhadap agama Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Wartawan Online di Lokasi @ Utusan Live
Tags: Buddha, Burma, Islam, Kami, Malaysia, Myanmar, OIC, Organisation of Islamic Cooperation
Leave a Reply